Sultan Mudzaffar Shah II (Perak)
| Sultan Mudzaffar Shah II | |||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Paduka Seri Sultan Perak | |||||||||||||
| Sultan Perak ke-10 | |||||||||||||
| Pemerintahan | 1636–1653 | ||||||||||||
| Didahului oleh | Sultan Sallehuddin Shah | ||||||||||||
| Diikuti oleh | Sultan Mahmud Iskandar Shah | ||||||||||||
| Kemangkatan | 1653 | ||||||||||||
| Pemakaman | Air Mati, Perak Tengah | ||||||||||||
| Pasangan | Puteri Perak Putri Fatimah Puteh[1] | ||||||||||||
| Anakanda | Raja Mahmud Raja Mansur Raja Muzaffar | ||||||||||||
| |||||||||||||
| Kerabat | Perak | ||||||||||||
| Ayahanda | Raja Mahmud | ||||||||||||
| Bonda | Tun Kechil | ||||||||||||
| Agama | Islam | ||||||||||||
Sultan Mudzaffar Shah ibni Raja Mahmud (سلطان مظفر شاه ابن راج محمود) ialah Sultan Perak yang ke-10. Baginda memerintah Perak dari tahun 1636 hingga 1653. Baginda merupakan Sultan Perak pertama yang berasal dari dinasti yang berbeza dengan sembilan Sultan sebelumnya.[2]
Keturunan
[sunting | sunting sumber]Terdapat beberapa pendapat berbeza mengenai asal-usul keturunan Sultan Mudzaffar Shah. Sejarah Perak menyatakan bahawa ayahanda baginda, Raja Mahmud merupakan cucunda kepada Sultan Siak, Sultan Khoja Ahmad (Almarhum Kasab) manakala bonda baginda, Tun Kechil merupakan puteri Bendahara Seri Maharaja Johor, Tun Isap Misai.[3] Rekod kerajaan negeri Perak pula menyatakan bahawa ayahanda baginda merupakan putera kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II dari Johor.[2]
Baginda telah berkahwin dengan Puteri Fatimah Puteh, cucunda kepada Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah dari Pahang dan cicit kepada Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua. Baginda berdua dikurniakan beberapa orang putera dan puteri, termasuklah Raja Mahmud, Raja Mansur, Raja Muzaffar, Raja Shah Alam Muda dan Raja Shah Alam Bongsu.[1]
Pemerintahan
[sunting | sunting sumber]Sewaktu Sultan Iskandar Muda dari Aceh menyerang dan mengalahkan Pahang pada tahun 1618, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah II dan puteranya, Raja Mughal bersama-sama dengan ramai rakyat Pahang telah ditawan dan dibawa ke Aceh. Raja Sulong juga merupakan antara yang tertawan.
Setelah Sultan Iskandar Muda mangkat pada tahun 1636, menantu baginda, Raja Mughal telah menaiki takhta Aceh dengan gelaran Sultan Iskandar Thani. Pada tahun yang sama, Sultan Iskandar Thani telah menghantar sepupunya, Raja Sulong ke Perak bagi menggantikan Sultan Sallehuddin yang telah mangkat. Raja Sulong diangkat sebagai Sultan Perak dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah[4] dan bersemayam di Air Mati, Lambor Kanan.[2]
Kedatangan Belanda
[sunting | sunting sumber]Sebelum Belanda menakluki Melaka pada 1639, Belanda telah mendapatkan kebenaran dari Sultan Iskandar Thani dan Sultan Mudzaffar Shah untuk menjalankan perdagangan di Perak. Pada 1641, seorang saudagar Belanda bernama Jan Dircxen Puijit telah menghadap Sultan Muzaffar Shah dan menyampaikan surat serta hadiah daripada Gabenor Belanda di Melaka, Johan van Twist. Gabenor Belanda itu menyampaikan hasratnya kepada baginda untuk menghentikan saudagar daripada bangsa lain untuk datang membeli timah di Perak dan hanya menjual hasil timah kepada Belanda sahaja. Baginda menyambut baik dan membalas hadiah yang dibawa oleh Jan Dircxen Puijit dengan sebilah pedang dan sebilah keris, mengurniakan gelaran Seri Johan Pahlawan kepadanya, dan memberikan sebuah rumah kepada Belanda untuk menggantikan rumah mereka di Perak yang sudah usang. Baginda turut menyatakan bahawa baginda amat berbesar hati untuk membeli barang dagangan daripada Belanda dengan syarat setiap belian dibenarkan untuk berhutang. Namun, cadangan yang diberi oleh Gabenor Belanda yang melarang bangsa lain daripada membeli hasil timah Perak masih lagi dibincangkan oleh baginda bersama para pembesar Perak.
Baginda terus didesak oleh Gabenor Belanda untuk menghalang bangsa lain daripada membeli hasil timah di Perak, namun baginda tetap berpendirian untuk tidak menghalangnya. Baginda juga mengancam untuk menarik balik rumah yang telah diberikan kepada Belanda dahulu. Belanda kemudiannya menempatkan beberapa kapalnya di kuala sungai Perak untuk menyekat kemasukan bangsa-bangsa lain daripada masuk ke Perak. Sekatan yang telah dibuat oleh Belanda itu telah dibantah oleh kerajaan Perak. Kerajaan Aceh sebagai penaung Perak tidak mengarahkan Perak untuk menghalang bangsa lain daripada membeli hasil timah di Perak, walaupun Belanda telah cuba menerangkan hasratnya kepada Aceh. Dalam tahun 1650, Gabenor Belanda di Betawi, Cornelis van de Lijn telah menghantar wakil bernama Joan Truijtman untuk ke Aceh.
Di Aceh, Belanda telah memaksa Sultanah Taj ul-Alam untuk membuat perjanjian dengan Belanda yang mana hanya membenarkan Belanda sahaja yang dapat membeli hasil timah di Perak. Sultanah kemudiannya menerima perjanjian tersebut lantas mengarahkan Perak untuk taat terhadap perjanjian itu. Perak yang masih di bawah naungan Aceh terpaksa akur dan taat terhadap permintaan Aceh. Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 15 Ogos 1650. Setahun selepasnya, loji Belanda di kuala Sungai Perak telah diserang dan dibinasakan oleh orang-orang Melayu sehingga mengorbankan ramai orang Belanda. Belanda kemudiannya menghentikan perdagangan mereka di Perak.[4]
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Setelah memerintah Perak selama 17 tahun, Sultan Mudzaffar Shah mangkat pada tahun 1653 dan digelar "Marhum Jalilullah". Baginda dimakamkan di Air Mati, Perak Tengah.[2]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- 1 2 "Perak Genealogy". royalark.net. Dicapai pada 2024-09-12.
{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link) - 1 2 3 4 "Senarai Sultan Perak". Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Dicapai pada 2026-04-17.
{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link) - ↑ Winstedt, R. O.; Wilkinson, R. J. (June 1934). "A History of Perak". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (dalam bahasa English). 12 (1). Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. JSTOR 41559831.
{{cite journal}}: CS1 maint: unrecognized language (link) - 1 2 Jasbindar, Freddie Aziz. "Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10)". www.orangperak.com. Dicapai pada 2022-09-03.
| Didahului oleh Sultan Sallehuddin Shah |
Sultan Perak 1636-1653 |
Diikuti oleh: Sultan Mahmud Iskandar Shah |