Pergi ke kandungan

Sultan Muhammad Shah (Perak)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Muhammad Shah
Paduka Seri Sultan Perak
Sultan Perak ke-14[a]
Pemerintahan1744–1750
Didahului olehSultan Mudzaffar Shah III
Diikuti olehSultan Iskandar Dzulkarnain
Raja Muda Perak
Pemerintahan1728-1744
Didahului olehRaja Inu
Diikuti olehRaja Iskandar
Kemangkatan1750
PemakamanPulau Tiga, Perak
PasanganChe Muda Pahang[1]
AnakandaRaja Iskandar
Raja Kimas
Raja Alauddin
Raja Inu
Raja Ahmad
Raja Shah Alam
Nama penuh
Raja Bisnu ibni Raja Mansur
Nama diraja
Paduka Seri Sultan Muhammad Shah ibni Almarhum Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah
Nama selepas mangkat
Marhum Aminullah
KerabatSiak-Perak
AyahandaYang di-Pertuan Muda Raja Mansur Shah
AgamaIslam

Sultan Muhammad Shah ibni Almarhum Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah (Jawi: ‏سلطان محمد شاه ابن المرحوم يڠ دڤرتوان مودا منصور شاه‎‎‎‎; mangkat 1750) ialah Sultan Perak yang ke-14. Baginda telah memerintah selatan Perak dari tahun 1742 hingga 1750.[2] Baginda merupakan adinda kepada Sultan Mudzaffar Shah III.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Diputerakan sebagai Raja Bisnu, baginda merupakan putera ketiga kepada Raja Mansur. Raja Mansur merupakan adinda kepada Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah dan putera kepada Sultan Perak ke-10, Sultan Mudzaffar Shah II.[1]

Semasa kekanda baginda, Sultan Mudzaffar Shah III bertakhta sebagai Sultan Perak, baginda telah diangkat sebagai Yang di-Pertuan Muda atau Sultan Muda bergelar "Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah" dan bersemayam di Pulau Tiga.[2]

Baginda telah berkahwin dengan Che Muda Pahang dan dikurniakan beberapa orang anakanda. Antara anakanda baginda termasuklah Raja Iskandar, Raja Kimas, Raja Alauddin, Raja Inu, Raja Ahmad dan seorang puteri bernama Raja Shah Alam.[1]

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 1742, satu kesalahfahaman telah tercetus antara Yang di-Pertuan Muda Muhammad Shah dengan Sultan Mudzaffar Shah III. Angkatan Bugis diketuai Daeng Chelak yang datang menyerang Perak kemudiannya mengambil kesempatan atas konflik ini dengan berpihak kepada Yang di-Pertuan Muhammad Shah. Baginda kemudiannya diangkat sebagai Sultan Perak yang baharu oleh para pengikut baginda dan pasukan Bugis dengan gelaran Sultan Muhammad Shah. Sultan Mudzaffar Shah III yang bersemayam di Berahman Indera telah berpindah ke Kuala Kangsar. Sultan Muhammad Shah pula bersemayam di Pulau Tiga. Hal ini telah menyebabkan pemerintahan Perak terpecah kepada dua, iaitu utara Perak diperintah Sultan Mudzaffar Shah III manakala selatan Perak diperintah Sultan Muhammad Shah. Sebuah kawasan bernama Pachat telah dijadikan sempadan antara dua pemerintahan tersebut.[3]

Namun, tidak lama selepas itu, Sultan Muhammad Shah berkehendak untuk berdamai dengan kekanda baginda, Sultan Mudzaffar Shah III. Baginda kemudiannya melepaskan takhta baginda bagi memberi ruang kepada Sultan Mudzaffar Shah III untuk terus memerintah Perak, memakai kembali gelaran Yang d-Pertuan Muda dan terus bersemayam di Pulau Tiga. Putera baginda, Raja Iskandar telah diangkat sebagai Raja Muda oleh Sultan Muzaffar Shah III.[3]

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Muhammad Shah mangkat pada tahun 1750, sewaktu pemerintahan kekanda baginda Sultan Mudzaffar Shah III. Baginda dimakamkan di Pulau Tiga dan digelar "Marhum Aminullah".[2] Lokasi makam asal baginda telah terjatuh ke dalam Sungai Perak, namun telah dipindahkan ke kawasan berdekatan makam Sultan Mahmud Shah I sewaktu pemerintahan Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah.[3]

  1. 1 2 3 "The Siak Dynasty - Genealogy - PERAK4". The Royal Ark. September 2008. Dicapai pada 21 Februari 2014.
  2. 1 2 3 "Senarai Sultan Perak". Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Dicapai pada 2026-04-17.{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link)
  3. 1 2 3 Jasbindar, Freddie Aziz. "Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak ke 14)". www.orangperak.com. Dicapai pada 2022-10-03.
  1. ↑ Pemerintahan baginda meliputi selatan Perak sahaja.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Didahului oleh
Sultan Mudzaffar Shah III
Sultan Perak
1744-1750
(selatan Perak)
Diikuti oleh:
Sultan Mudzaffar Shah III